Sunday, December 11, 2016

Circulated Circa 1998

Keluhan Hati

Diterima January 1999 melalui hotmail.  Tatkala kita semua baru berjinak dengan Internet, Jaring, MIRC dan Alamak Chat...tetiba rindu zaman gathering chatters Singapore-Msia...

=============================================================

Dalam kesuraman ultra lembayung tika tujuh bulan menumpahkan cahaya dibawah kaki langit khirmizi, tiba-tiba aku terkenangkan eurika nostalgia cinta lama yang kita palitkan berdua.

Kehadiranmu bersama molekul-molekul hidrogen menerjang segala kekusutan yang membelit tali perutku.  Dan kehadiranmu itu mengajar aku erti rindu gelora dan syahdu.

Kau juga mengajarku erti cinta, singa laut, beruang kutub, penguin, kambing salji, mee rebus, cendol, koridor, kotak pensil, tali kasut dan pasu bunga.  Kala itu, kita bagaikan Nobita dan Sizuka.  Kau dan aku umpama Kurt Cobain dan Rafeah Buang yang tidak dapat dipisahkan.  Malangnya percintaan yang mendapat liputan meluas hingga ke planet Ziku itu telah mengundang perpisahan yang akhirnya telah mengecewakan seluruh penternak lipan di Burma.  Kau pergi jua ketika Kuala Lumpur sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Komenwel 1998.

Sesungguhnya perpisahan itu berpunca daripada penebangan pokok getah secara besar-besaran di lembah Klang.  Pemergianmu menyebabkan aku menghidap penyakit resdung dan hepatitis-Q secara mengejut.  Ketiadaanmu memaksa aku memakai topi keledar setiap masa sebagai langkah keselamatan.  Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah terjadi.  Aku bagaikan tergelincir dari orbit bumi dan terpelanting ke ruang angkasa apabila daya tarikan graviti terhadapku tiada lagi berfungsi setelah aku tersungkur dalam percintaan yang berlarutan hingga ke rubber-set.  Seluruh perjalahan hidupku menjadi gelita bagaikan terperangkap di dalam gua yang gelap dan ditemani stlangit and stlagmit yang bagai sembilu.

Kondominium cinta yang kita bina dari maknat basikal dan kipas helikopter akhirnya musnah setelah kau berpaling tadah.  Ternyata sikapmu mulai berubah bila Malaysia mula melancarkan satelit MEASAT-1 ke ruang angkasa raya.  Sejak itu kau sering melarikan diri bila terserampak dengan abang iparku.  Akhirnya aku menyedari bahawa diri ini tidak diperlukan lagi.  Sejak kau tiada, aku sering menyendiri berbual-bual dengan pokok betik untuk mengisi masa lapang.  Kadang-kadang aku mengikat botol oren pada tiang tumah agak nampak lebih cantik.  Saban hari aku termenung di dalam peti sejuk mengenangkan dirimu yang entah kemana menghilang.  Aku cuma bermain badminton sambil makan mi hailam untuk melupakanmu tetapi aku tak berdaya. Lalu aku membakar mesin basoh dan membelasah empat ekor itik serati jiran sebelah sebagai tanda yang aku tak bersalah.

Mengapa?  Mengapa sayang?  Mengapa ini semua bisa terjadi?  Mengapa setelah kau curi hatiku, kau rompak cintaku lantas kau bunuh cintaku sehingga kau terbunuh dalam kemalangan cinta yang ngeri. Aku bagaikan terhimpit dan dihimpit oleh guni-guni batu yang kau timpakan diatas belakangku. Derita yang kau timpakan itu adalah bebanan yang terlalu berat untuk ku tanggung bagaikan mendukung 75 ekor biawak dan 386 ekor anak beruk.  Dan kini segala harapanku hancur berkecai bagaikan aku terjatuh dari Menara Kuala Lumpur dan dihempap oleh Menara Kembar Petronas lalu tersangkut di celah landasan LRT. Oh! terlalu berat dugaan yang kutempuhi kini.  

Kini segalanya telah pun berakhir.  Aku sedar siapa aku.  Aku hanya insan biasa yang suka makan mi segera.  Aku bukan McGyver, McDonald, Superman atau Kesatria Baja Hitam.  Aku juga bukanlah Ultraman seperti yang kau idam-idamkan.  Aku menyedari kekurangan diri dan kekurangan kemudahan awam di tempat sendiri.  Tak perlu dikesali lagi kerana nasi telah menjadi capati dan tin sardin yang ku genggam ini telah pun luput tarikhnya.

Segalanya sungguh mengharukan dan semua hadiah pemberianmu termasuk enjin kapal selam telah pun aku cincang untuk dibuat makanan lembu. Walaupun segalanya telah pun berakhir, disini, diatas pokok getak ini aku tetap menunggumu.  Selagi ada nafas ini, selagi ada kompleks membeli-belah SOGO, selagi ada kedai kasut selipar di sekitar Argentina, selagi kumpulan Metallica tidak berpecah, aku tetap menunggumu sehinggalah mentari terbelah lapan.  Namun aku menyedari bahawa penantianku hanyalah sia-sia belaka.  Akhirnya aku mengambil keputusan muktamad untuk menunggu tiang elektrik dihadapan rumahku berbuah. Kalau tiang tu berbuah nanti, aku poskan buahnya kepadamu.  Nak tak?

- siapalah Mat Sengal yang karang benda ni.....apa khabar dia sekarang eh....

Thursday, February 11, 2016

Ann & Azly


Ann kerap juga kerumah besar itu untok menolong Mak Longnya yang bekerja sebagai pembantu rumah disitu.  Aunty Suzy terima kehadiran gadis keletah itu yang suka bermain dengan anak bongsunya, Husna. Dia bebas keluar masok rumah itu, walaupun dia sedar siapa dirinya dan hanya menggunakan jalan dapor sahaja.

Suatu hari, semasa asyik ralit menari didapur sementara menunggu asam pedas mendidih, dia pusing dan bertembung dengan Azly, si anak sulong berwajah "serious" yang baru pulang dari kem perkhidmatan negara.  Kerana terlalu malu sebab ditangkap "bermain" semasa memasak, dia lari dan menyembunyikan dirinya di bilik Mak Long.

Semasa curi-curi keluar dapor untuk pulang kerumahnya, Azly memeranjatkan dia sekali lagi dan tanpa sengaja, dia telah tersepak muka Azly dengan buku nota dia.  Itulah kali terakhir mereka bertemu dan dia berdoa yang dia tidak akan bertemu Azly lagi.  Dia tidak tahu dimana nak sorokkan muka dia kalau bertemu "si muka serious" itu lagi.

Sepuluh tahun kemudian, Aunty Suzy jodohkan Ann dengan Azri, putera keduanya.  Ann hanya menerima kerana rasa hormat dan terhutang budi dengan Aunty Suzy walaupun dia tidak cintakan Azri yang candi dan baik kepadanya. Seminggu sebelum diijabkabulkan, Azri berubah sikap dan seperti acuh tak acuh dengan Ann.

Pada hari perkahwinan, Azri melarikan diri.  "I couldn't do it.  I'm deeply sorry".  Itu sahaja nota yang ditinggalkan buat bakal isteri.  Malam sebelumnya, dia telah meluahkan perasaan sebenarnya pada abangnya Azly yang tidak mengambil endah dan hanya menganggapnya sebagai darah gemuruh.  Ya, Azly pulang sementara dari Australia setelah beberapa tahun menguruskan syarikat bapanya disana sebaik sahaja tamat pengajiannya di bumi Oz itu.  Walaupun perit memikirkan gadis yang dia "pandang sebelah mata dulu" akan dikahwinkan dengan adiknya sendiri, dia kemas menyimpan perasaannya jauh dilubuk hati.

Aunty Suzy hampir pengsan dengan "kehilangan" Azri.  Azly mengambil tempat pengantin lelaki untuk menyelamatkan maruah keluarga.  Ann, dalam kekalutan dan tidak mahu keluarganya malu, terima sahaja walaupun dia marah dengan perbuatan Azri dan jengkel dengan keselambaan Azly.  Dia tersentap tatkala memandang wajah Azly dan mula rasa 'semacam’' bila Azly tenung dia seperti waktu "insiden asam pedas" sepuluh tahun dahulu.

Majlis berjalan lancar dan hanya keluarga terdekat sahaja yang tahu perihal pertukaran pengantin lelaki.  Malam itu, Azly menyampaikan kisah sebenar walaupun dia tahu dia hanya akan melukakan hati isterinya:-

Azri telah putus cinta dengan Sarina kerana bapa Sarina tidak suka dengannya.  Bapa Sarina anggap dia hanyalah anak orang kaya yang suka berfoya-foya.  Azri tidak dapat hubungi Sarina yang tiba-tiba lenyap dari muka bumi.
Aunty Suzy jodohkan Azri dengan Ann kerana ingin melihat Azri kembali ceria.  Dalam kebuntuan, Azri setuju kerana dia hormatkan ibunya dan kecewa dengan sikap Sarina yang seperti tidak mahu mempertahankan cinta mereka.

Seminggu sebelum dinikahkan, Azri mendapat tahu yang Sarina berada di Cairo untuk menyambong pelajarannya dan sedang cuba untuk melupakan Azri apabila dia mendapat khabar yang Azri akan dijodohkan dengan gadis pilihan ibunya.
Azri nekad untuk mencari Sarina.  Dia sukakan Ann yang selalu menceriakan hatinya tetapi dia terlalu sayangkan Sarina, cinta pertamanya.

Ann keliru kerana dia sepatotnya marah dengan huru hara yang ditimbulkan Azri, tetapi kenapa hatinya terusik apabila pertama kali memandang wajah sayu Azly pada malam itu?

Azly tidak sangka adiknya akan lari di hari perkahwinan sendiri dan menyesal kerana tidak memujuk Azri walaupun dia lega kerana akhirnya memiliki gadis yang menari di dapor ibunya 10 tahun yang lalu.  Masalahnya sekarang, adakah Ann mempunyai perasaan yang sama?  Bolehkah Ann memaafkan Azri dan menerima Azly si abang yang telah disepaknya dahulu?